Menurut Hikayat Hang Tuah, Hang Jebat merupakan seorang pahlawan yang telah dibunuh oleh Hang Tuah
kerana derhaka dalam pertarungan yang memakan masa 3 hari 3 malam. Hang
Jebat pada masa pertarungan itu menggunakan keris Taming Sari yang
dianugerahkan oleh Sultan Melaka semasa melantiknya menjadi Laksamana.
Keris itu dikatakan menjadikan Hang Jebat kebal tidak lut senjata. Hang
Tuah telah berjaya merampas semula keris Taming Sari
dalam pergelutan dan menikam Hang Jebat. Selepas menikam Hang Jebat,
Hang Tuah yang baru kembali dari buangan, kembali kerumahnya. Hang Jebat
tidak terus mati, tetapi telah membalut lukanya dengan kain cindai dan
kemudiannya memasuki kampung-kampung untuk mengamuk membunuh siapa
sahaja yang melintas dihadapannya. Dia akhirnya menghembuskan nafas
terakhir di pangkuan Hang Tuah.
Hang Jebat dikatakan telah membuat perhubungan sulit dengan seorang dayang istana bernama Dang Wangi.
Ada kisah yang menyebut bahawa sebenarnya Hang Jebat telah bernikah
dengan Dang Wangi dan semasa Hang Jebat terbunuh, Dang Wangi sedang
hamil anak Hang Jebat. Hang Tuah kemudiannya menghantar Dang Wangi
tinggal di Singapura untuk melahirkan dan membela anak Hang Jebat yang
dikatakan bernama Hang Nadim. Dalam kisah Singapura Di Langgar Todak, budak bijak yang memberi pendapat supaya berkubukan batang pisang dari serangan todak dikatakan adalah Hang Nadim anak kepada Hang Jebat.
Keberanian dan ketegasan Hang Jebat untuk mencari keadilan sehingga
sanggup menderhaka kepada Sultan adalah satu-satunya persoalan yang
menjadikan Nama Hang Jebat begitu harum sehingga ke zaman ini. Ungkapan
katanya 'Raja adil raja disembah,raja zalim raja disanggah,' menjadi
kata-kata hikmat setiap kali memperkatakan perjuangan untuk menuntut
keadilan atau bila hendak memperkatakan kezaliman raja yang memerintah.
Kesetiaan Hang Tuah yang membuta tuli sebaliknya menjadi cemuhan
orang-orang di generasi ini.
Perbalahan di antara dua wira Melaka telah menimbulkan tanda tanya
tentang moral Hang Jebat yang bertindak membunuh rakyat yang tidak
berdosa dan mengenai sejauh mana Hang Tuah bertindak mematuhi perintah Sultan.
Bagaimanapun, seseorang perlu melihat tindakan tersebut dalam konteks
sezaman. Oleh itu adalah tidak menusahabah bagi seseorang yang hidup di
abad ke 21 mempersoalkan nilai moral mereka yang hidup dalam abad ke
15.
Patuh kepada pemerintah adalah nilai yang kekal sepanjang zaman,
walaupun gelaran seseorang pemerintah itu dari sultan berubah kepada
Presiden, atau Perdana Menteri. Mengingkari sesuatu perintah tanpa sebab
yang baik merupakan jenayah yang besar.
Selain itu membunuh mereka yang tidak berdosa merupakan satu
kesalahan, satu nilai moral yang kekal sepanjang zaman. Walaupun
terdapat mereka yang mengagung-agungkan Hang Jebat dan sebaliknya, ia
bukanlah sesuatu yang diterima secara keseluruhan, cuma sebahagian
masyarakat. Seseorang itu perlu menimbangkan sebanyak mungkin fakta
sebelum membuat keputusan. Disebabkan oleh itu, Hang Jebat merupakan
wira bagi sesetengah orang dan pembunuh bagi sesetengah yang lain.
Keputusan akhirnya adalah bagi masing-masing memutuskannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan